JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengkritik penggantinya, Dr. Zaliha Mustafa kerana berdiam diri berhubung kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mempersoal kaitan merokok dan kanser.
Khairy Jamaluddin berkata, adalah amat mengecewakan dan memalukan apabila kenyataan sedemikian dikeluarkan seorang individu bertaraf menteri di negara ini.
“Bagi saya, adalah amat memalukan apabila ada menteri kerajaan pada tahun 2023 di negara ini masih mempersoal hubungan antara menghisap rokok dan penyakit kanser.
“Malah, apa yang lebih menyedihkan adalah apabila Menteri Kesihatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga aspek kesihatan awam di negara ini berdiam sahaja dan tidak tampil memperbetul kenyataan rakan kabinet.
“Adalah satu perkara apabila dia (King Sing) yang mungkin tidak tahu terlalu banyak tentang isu ini bertindak menyerang saya, tetapi apabila dia menentang fakta kesihatan yang bersandar kajian klinikal, itu lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Fit and Active Family Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), di sini hari ini.
Tambah Khairy Jamaluddin lagi, kenyataan dibuat King Sing itu bukan sahaja serangan kepada sains dan fakta kesihatan, tetapi juga kepada kesihatan awam secara keseluruhannya.
Sebelum ini, King Sing mengkritik Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang paling gagal dalam sejarah negara dan mendakwa bekas Ahli Parlimen Rembau itu gagal membuktikan secara konsisten bahawa kanser berpunca daripada tabiat merokok. – KOSMO! ONLINE