fbpx

Kenaikan cukai harta sehingga 40 peratus agak tinggi – Exco negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Jafni (tiga kiri) menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran Pecah Tanah dan Perasmian Galeri Paragon Gateway di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akui cadangan kenaikan cukai harta sehingga 40 peratus yang hendak dilaksanakan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bermula tahun depan agak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pihaknya maklum akan luahan dan keluhan penduduk di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Sehubungan itu katanya, cadangan untuk menurunkan kadar kenaikan sehingga 40 peratus itu telah dikemukakan.

“Sebenarnya kenaikan itu kategori agak tinggi, saya percaya kerajaan negeri akan pertimbang setelah mendengar luahan dan keluhan penduduk, jadi tunggulah pengumuman Menteri Besar, ada berita baik untuk semua pembayar cukai termasuk di Pasir Gudang.

“Untuk makluman, terdapat lima PBT yang terlibat dengan cadangan kenaikan kadar cukai harta iaitu MBPG, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pengerang dan juga Majlis Perbandaran Kluang.

“Bagi lima kawasan PBT itu, terdapat lebih daripada 800,000 pemilikan hartanah secara keseluruhan namun hanya sekitar 4 peratus sahaja membuat bantahan rasmi. Di kawasan MBPG pula, daripada kira-kira 97,000 pemilik hartanah, hanya 2,100 atau 5 peratus sahaja yang membantah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pecah Tanah dan Perasmian Galeri Paragon Gateway, di sini hari ini. Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Terdahulu, penduduk Pasir Gudang membantah cadangan kenaikan cukai harta yang dianggarkan antara 40 hingga 50 peratus di kawasan PBT berkenaan yang menganggap jumlah kenaikan itu terlalu mendadak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI