MELAKA – Usaha menjadikan Melaka sebagai bandaraya terbersih dan bebas sampah menjadi fokus utama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terutama menjelang sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, ia selaras dengan kejayaan MBMB
dianugerahkan Agensi Terbaik sempena World Clean Up Day kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Malam Apresiasi Madani Cinta Bumi sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) di Putrajaya malam tadi.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil usaha pihaknya menganjurkan program Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) setiap minggu.
“Sejak program BEBAS dilaksanakan antara MBMB dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usaha memastikan bandaraya Melaka serta kawasan pentadbiran bebas sampah dan bersih makin berhasil.
“Kali ini kita akan menganjurkan program gotong-royong Perdana melibatkan pelbagai pihak seperti perbankan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sukarelawan dan syarikat swasta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program BEBAS RHB Clean-A-Thon yang telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi di Pantai Puteri di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE