LONDON – Juventus dilaporkan bersedia untuk menyelamatkan masa depan karier bola sepak Jadon Sancho pada jendela perpindahan musim sejuk pada Januari nanti.
Meninggalkan Old Trafford dianggap jalan paling baik buat Sancho apabila dia kini ‘dibekukan’ ekoran insiden pergaduhan dengan pengurus pasukan itu, Erik Ten Hag ekoran dakwaan tuduhan berbohong.
Sancho terpaksa menjalani latihan secara sendirian sejak dua bulan lalu selepas mendakwa Ten Hag menipu mengenai ketiadaannya dalam skuad ketika menentang Arsenal September lalu dan enggan membuat permohonan maaf.
Wakil Juventus dilaporkan sudah berada di London sejak minggu lalu dan dikatakan sedang berhubung dengan pihak United untuk rundingan mengenai potensi perpindahan Sancho ke Turin secara pinjaman.
Gergasi Itali itu dilaporkan tidak mempunyai struktur kewangan yang kukuh ketika ini untuk membeli Sancho secara tetap yang dianggarkan bernilai £45 juta (RM261.61 juta) biarpun dibeli pada harga £73 juta (RM424.39 juta) dari Borussia Dortmund pada 2021.
Sekiranya rundingan ke Juventus menjadi kenyataan, United tetap perlu melunaskan sebahagian daripada gaji mingguan pemain berkenaan sebanyak £275,000 (RM1.59 juta).
Dortmund turut meletakkan Sancho di dalam senarai pemain yang mungkin akan mereka dapatkan semula, namun tidak akan membayar pada harga yang tinggi dan berharap United terdesak untuk melepaskan pemain itu. – AGENSI