KANGAR – Jualan Rahmah yang dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan jualan sehingga RM162 juta sehingga pertengahan November tahun ini.
Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, jumlah jualan itu dicatatkan menerusi 3,530 Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada kira-kira 5 juta pengguna di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.
“Pihak kementerian akan menggunakan sehingga habis peruntukan bagi tahun ini berjumlah RM150 juta bagi meneruskan Jualan Rahmah di seluruh negara.
“Kita juga gembira melihat penglibatan lebih banyak pihak francais yang juga salah satu bahagian di bawah KPDN dan rakan strategik kita untuk turut serta dalam program Jualan Rahmah,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Aiskrim dan Jualan Rahmah di sini kangar Jaya, Kangar hari ini.
Tambahnya, pihak KPDN juga akan turut membantu pembangunan francais di dalam dan di luar negara menerusi peruntukan RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, KPDN juga mencadangkan kepada Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) untuk menyediakan data mengenai kesemua elemen yang menjadi indikasi kos sara hidup menjelang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (SST) dari enam ke lapan peratus pada tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE