fbpx

IJN buka cawangan farmasi kedua di 1 Utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Aizai ditemui pada Majlis Pelancaran IJN First Pharmacy di pusat beli-belah 1 Utama, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) merasmikan pembukaan cawangan kedua IJN First Pharmacy di pusat beli-belah 1 Utama, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pembukaan IJN First Pharmacy di pusat beli-belah tersebut adalah sebagai satu langkah untuk mendekatkan lagi IJN dengan rakyat, terutamanya pelanggan yang berminat dengan servis-servis yang ditawarkan.

“Sebagai peneraju dalam bidang perubatan, kami bukan sahaja menfokuskan pada konsultasi doktor semata-mata.

“Kami juga ingin memastikan para pelanggan dapat menikmati servis yang ditawarkan oleh IJN secara terus,” katanya.

Tambah Dr. Aizai, pembukaan cawangan kedua farmasi kendalian IJN di pusat beli-belah 1 Utama itu selaras dengan visi mereka untuk memastikan pelanggan mendapat akses kepada ubat-ubatan yang berkualiti tinggi berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing.

“Oleh itu, kami membuka sebuah cawangan di lokasi yang strategik dengan harapan ia boleh diakses oleh masyarakat dengan mudah.

“Selain itu, kami juga menawarkan barangan dengan harga yang kompetitif dan mampu milik, setanding dengan farmasi lain di luar sana,” katanya.

Menurut Dr. Aizai, antara kelebihan IJN First Pharmacy berbanding farmasi lain adalah dari segi standard barangan dan ubat-ubatan yang dijual.

“Kami memastikan setiap barangan yang dijual di farmasi ini mempunyai kualiti yang terbaik.

“Malah, kami juga menawarkan khidmat konsultasi dan kaunseling supaya pelanggan mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam tentang ubat-ubatan yang diambil.

“Hampir semua item, terutamanya yang berkait dengan kesihatan yang dijual di sini perlu melalui pemeriksaan kualiti yang ketat supaya ia terbukti selamat dan berkesan,” ulasnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, IJN First Pharmacy bakal menjadi platform bagi produk-produk buatan tempatan, terutamanya yang berkait rapat dengan kesihatan.

“Ini merupakan antara langkah IJN untuk membuktikan bahawa kami komited untuk membantu pemain-pemain industri tanah air.

“Di sini, pelanggan boleh mendapatkan produk buatan tempatan yang diyakini selamat dan berkualiti tinggi tanpa perlu rasa was-was,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI