BANDAR GAZA – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan bahawa pihaknya memerlukan 160,000 liter bahan api setiap hari untuk pelaksanaan misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Anadolu semalam.
“UNRWA memerlukan 160,000 liter bahan api setiap hari untuk melakukan operasi asas kemanusiaan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Awal minggu ini, UNRWA mengeluarkan amaran untuk menangguhkan operasinya di Gaza dalam tempoh 48 jam kerana kekurangan bahan api yang serius.
Walaupun Israel telah menghalang kemasukan bahan api ke Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu, UNRWA berjaya memperoleh kuantiti 25,000 liter bahan api melalui Lintasan Sempadan Rafah di Mesir untuk operasinya, Rabu lalu.
UNRWA memainkan peranan penting sebagai agensi utama PBB yang beroperasi di Semenanjung Gaza. Ia menyediakan perlindungan kepada kira-kira 830,000 pelarian Palestin di sekolah-sekolah kendaliannya di seluruh Gaza.
Namun, agensi PBB itu menggantung operasinya di Bandar Gaza dan kawasan utara ketika ia beroperasi di bahagian selatan wilayah Palestin itu berikutan serangan besar-besaran ketika tentera Israel.
Sejak 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya lebih 12,000 penduduk Palestin terkorban, termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 29,200 lagi cedera, demikian menurut pihak berkuasa Palestin.
Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja sama ada rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat tidak henti-henti tentera Israel ke atas Gaza.
Angka kematian Israel, sementara itu, adalah sekitar 1,200, menurut angka rasmi. – AGENSI