fbpx

Boikot ayam gagal, boikot produk Israel berhasil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BOIKOT, biasanya untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi berkenaan menerima syarat tertentu, antara senjata paling ampuh bagi seorang pengguna.

Apabila mendengar pihak berkuasa mengeluarkan kenya­taan tipikal seperti ‘kalau ayam (atau barangan lain) mahal, jangan makan ayam’ penulis sering melihatnya seakan-akan satu bentuk seruan untuk memboikot agar wujud lebihan bekalan, seterusnya harga akan turun.

Pun begitu, seruan memboikot jarang sekali disambut secara beramai-ramai, maka harga ayam pun tidak turun. Kalau harganya turun sekali pun, ia atas pelbagai faktor-faktor lain.

Namun, dalam menunjukkan kecintaan dan rasa prihatin kepada saudara kita yang tertindas di Palestin, rakyat Malaysia dilihat lebih bersatu dan serius dalam tindakan memboikot, terutamanya melibatkan produk syarikat-syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) yang memperlihatkan sokongan terhadap rejim Zionis.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan misalnya, antara yang telah menyatakan jawapan cukup baik berkenaan pendirian peribadi­nya untuk turut serta memboikot produk dikaitkan dengan Israel.

Katanya dalam program Keluar Sekejap, “apa-apa langkah sama ada boikot, atau meminimakan perbelanjaan dalam entiti dan syarikat (yang berpangkalan di AS), kalau itu boleh membuatkan emosi saya dan pemikiran saya lebih dekat dengan mangsa-mangsa di Palestin, itu sahaja cukup untuk saya.

“Walaupun itu mungkin akan mencederakan sedikit pekerja di Malaysia, tapi untuk hubungan emosional yang membuatkan saya ingat tentang apa yang berlaku di Gaza, itu hampir cukup untuk saya mencuba dan me­lakukannya (boikot),” ujarnya.

Ketika ada yang lebih sinis dan beranggapan boikot ini ibarat ‘burung yang merenjis api’, melihat kepada respons syarikat yang terjejas akibat boikot di negara ini, jelas kelihatan tindakan itu bukanlah bersifat sia-sia.

Sebaliknya, ia menghasilkan impak besar jangka panjang yang mungkin sukar untuk diukur.

Bagi Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, boikot merupakan satu strategi yang telah digunakan secara meluas sejak bertahun-tahun lamanya.

Katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia, tindakan boikot telah digunakan oleh kuasa-kuasa besar untuk melumpuhkan ekonomi negara yang tidak dikuasai mereka terutamanya apabila melibatkan perbezaan politik, seperti apa yang dialami Venezuela dan Iran.

“Cuma bercakap mengenai boikot kepenggunaan yang bersifat pembelian barangan dan sebagainya, ia merupakan satu perkara yang perlu dinilai keberkesanannya.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah membangunkan satu bentuk keilmuan baharu, satu elemen peradaban penggunaan ketermadunan perbelanjaan baharu untuk kita menilai siapakah mereka (kumpulan yang sepatutnya diboikot) dan dimanakah produk-produk mereka.

“Ia perlu dilakukan dengan strategi yang lebih berstruktur supaya kesannya dapat dinilai dengan lebih baik dan ini boleh membawa kepada satu pembaharuan.

“Dalam peperangan fizikal, perang saraf dan psikologi, kita perlu ada inovasi dan taktikal untuk mengatur strategi yang lebih berkesan, supaya ia (boikot) tidak bersifat bermusim dan berkala, sebaliknya berjalan secara konsisten,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI