LONDON – Seorang penunggang basikal terpelanting selepas melanggar pintu pagar di hadapan yang tidak dapat dilihatnya di Sheffield, Yorkshire Selatan, England, lapor portal berita MailOnline semalam.
Penunggang lelaki itu merupakan orang ketiga melanggar pintu pagar itu dalam masa lapan bulan sahaja. Dia dilihat menuruni bukit dengan laju sebelum basikalnya melanggar pintu tersebut.
Kejadian dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah rumah yang terletak berhampiran pagar tersebut kelmarin.
Bunyi dentuman kuat kedengaran, manakala basikal mangsa tercampak sejauh 5 meter. Penunggang tersebut yang memakai topi keselamatan, rebah tetapi bangun semula untuk mendapatkan basikalnya.
Seorang penduduk tempatan berkata, pintu itu telah dibuka selama berminggu-minggu tetapi dikunci semula dua hari lalu.
Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu. – AGENSI