fbpx

Aku tidak akan maafkan – Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Balqiskecewa apabila ibu tersayang sering menjadi mangsa fitnah dan kecaman ramai termasuk ada yang melabel wanita itu dengan gelaran bukan-bukan.

PETALING JAYA – Ibarat hati yang dihiris-hiris, pelakon Puteri Balqis berkongsi luahan rasa dan kisah selepas ibunya, Norashikin Mohd. Aziz tidak henti-henti menjadi bahan cacian orang dalam industri hiburan, selain difitnah dengan tuduhan tidak benar.

Lama memendam, Balqis atau mesra disapa Aqish berkongsi apa yang dilalui ibu serta dirinya sejak bertahun-tahun lalu dalam satu hantaran panjang lebar yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Kata Aqish, tuduhan tentang ibunya seorang penagih dadah masih lagi menjadi buah mulut sehingga ke hari ini, walaupun perkara tersebut fitnah semata-mata.

“Mak, minggu ini kakak (panggilannya) terima benda yang sama. Bertahun-tahun. Mak dia penagih (mak Aqish). Kenapa mata mak dia ‘rabak’?

“Kenapa mata mak dia berkilat? Mak dia lain macam. Pergi kedai depan rumah pun macam penagih. Anak dia bakal ikut mak dia jadi penagih, kutip sampah,” luahnya.

Lebih menyedihkan, Aqish memberitahu fitnah tentang ibunya seorang penagih dadah disebarkan sendiri kalangan penggiat industri, selain turut digelar sebagai pelacur.

Bukan itu sahaja, pelakon remaja itu turut terkena tempias cacian dan hinaan apabila turut digelar sebagai anjing, babi dan monyet oleh segelintir kru penggambaran.

“Mak masih ingat, kru-kru pondan ‘wardrobe” dan mekap yang sebarkan mak penagih? Mak masih ingat komen mereka dalam Facebook?

“Berbulan kakak dipanggil anjing, babi dan monyet. Mereka ketawakan mak ramai-ramai, dijerit dengan gelaran pelacur waktu sedang makan.

Walaupun kejadian tersebut telah lama berlaku, malah ada dalam kalangan kru yang terlibat sudah pun meninggal dunia, luka di hati pelakon berusia 16 tahun itu masih berdarah sehingga sukar untuk memaafkan kesalahan mereka.

“Hati kakak dah hancur. Apa yang mereka sebarkan, mak tetap kena tanggung. Kakak pernah dimaki hamun tanpa sebab, mak tak tahan, mak bertumbuk dengan mereka. Tapi mak kalah.

“Kakak tidak akan pernah maafkan mereka mak,” katanya.

Dalam hantaran berbeza, pelakon yang pernah menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Televisyen Asia ke-19 itu mengakui apa yang berlaku membuatkan dirinya berasa benci dengan manusia dan memilih untuk bersendirian.

“Mak jangan risau. Kakak benci manusia. Manusia buat kakak merana. Kakak lebih suka sendirian.

“Bila kakak pandang orang lain, dalam hati kakak cuma terdetik mungkin orang itu bakal hancurkan hidup aku lagi.

“Mungkin kau salah seorang yang pernah hina aku dan mak aku,” kongsi Aqish.

Pada masa sama, pelakon drama Angah itu turut percaya tiada lagi ayat manusia yang baik untuk dirinya.

“Hati kakak sakit. Tidak ada lagi ayat manusia yang indah untuk kakak. Kalau duduk dalam bilik, kakak tulis satu persatu apa yang berlaku tanpa mak tahu.

“Hidup bagi kakak ada dua. Satu ujian, dan satu lagi karma. Ujian kesusahan untuk manusia dan karma untuk pengkhianat,” tulis Aqish.

Dalam hantaran panjang lebar itu, Aqish turut berkongsi pelbagai perkara ‘malang’ yang pernah terjadi dalam hidup bersama ibu tercinta, termasuk dipergunakan seorang selebriti untuk tujuan mencari publisiti.

Aqish tidak boleh lupa apabila dia dan juga ibunya dipujuk dan ‘diperangkap’ seorang selebriti dengan habuan sebanyak RM5,000, asalkan dia sanggup berlakon lapar dan menjaja buku puisinya dalam kereta api, supaya selebriti itu boleh menjadi viral.

“Sehingga kini, setiap kali kakak nampak selebtriti kaya itu tular dengan lagu-lagu bodoh yang merosakkan industri, berpura-pura sedih, kakak akan ketap gigi menahan maran,” luahnya.

Pada luahannya, Aqish menitipkan penghargaan buat ibunya, yang dianggap sebagai wanita cekal menempuhi segala apa yang berlaku.

“Mak dan banyak berkorban untuk kakak. Cukup setakat ini mak. Kakak tidak mampu untuk membalas setiap titis air matamu.

“Kakak belajar, hidup ini tidak seindah yang disangka. Kakak bangkit untuk mak,” katanya.

Menjawab tentang tuduhan melulu orang ramai bahawa ibunya seorang penagih dadah, Aqish menerusi satu temu bual bersama Kosmo! Online pada tahun lalu pernah menafikan perkara tersebut.

“Apabila mereka cakap tentang addiction (ketagihan dadah) apa semua, saya cuma boleh cakap, ibu dari dulu orangnya memang kurus.

“Masalah metabolisme. Jadi, memang tiada kena mengena dengan addiction. Kalau bercakap dengan ibu, orangnya sangat indah. Kata-kata yang keluar dari mulutnya sangat poetic (berpuisi).

“Jauh beza kalau nak disamakan dengan addiction. Sejak bila? Dan fitnah itu besar tapi saya tak boleh tutup mulut orang,” getusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI