MAJLIS Sukan Negara (MSN) menegaskan, pihaknya masih mempunyai Program Podium untuk membantu atlet negara sekiranya mereka tidak terpilih mahupun menolak untuk menyertai program Road to Goal (RTG).
Kelmarin, pemain profesional badminton negara, Lee Zii Jia membuat keputusan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai program RTG.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya tidak boleh memaksa atlet berkenaan tetapi sentiasa membantu atlet negara yang berada dalam Program Podium.
“Saya rasa apa yang Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah maklumkan sebelum ini, sama ada atlet yang hendak menyertai RTG atau tidak merupakan pilihan mereka sendiri.
“RTG ini seperti kita maklumkan beberapa kali ia adalah satu program tambahan kepada Program Podium. Bagi atlet yang tidak mahu program RTG, kita masih memberi sokongan dari segi kemudahan dan bantuan yang diberikan dalam Program Podium itu tiada masalah.
“Jika mereka tidak memilih untuk menandatangani persetujuan komitmen RTG itu adalah pilihan mereka sendiri dan kita hormati. Mereka akan meneruskan latihan mereka dalam program podium.
“Setakat ini, hanya Lee Zii Jia tidak bersama RTG dan dia juga adalah atlet profesional. Saya tidak boleh katakan ia adalah satu keputusan merugikan atau pun tidak kerana terpulang kepada atlet berkenaan.
“Bagi MSN, dari pelbagai bantuan sudah ada dalam Program Podium. MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) sedia membantu atlet-atlet terutama tujuan kelayakan ke Olimpik,” ujarnya.