PERALIHAN fasa menggalas tanggungjawab sebagai ibu sejak melahirkan Aishah Al Iman pada Julai lalu menjadi momen istimewa buat penyanyi Wany Hasrita.
Meraikan kehadiran zuriat sulung, sebuah dendangan khas digubah istimewa buat permata hati hasil perkongsian hidup dengan suaminya yang juga juruterbang, Mohd. Al Adib Fahmi itu.
Single berjudul Cinta Hatiku itu dianggap sebagai hadiah atas pertambahan ahli keluarga baharu.
Lebih istimewa si cilik berusia empat bulan itu turut ditampilkan menerusi muzik video lagu berkenaan.
Kemunculan Wany bersama puterinya dalam Cinta Hatiku yang baru dilancarkan dalam platform YouTube sememangnya mengujakan peminat.
“Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan peminat yang turut teruja melihat Aishah Al Iman muncul dalam muzik video ini.
“Lagu ini memang dizahirkan buat permata hati kami yang telah membawa kebahagiaan bukan saja kepada saya dan suami, malah keluarga besar kami,” katanya.
Menjelaskan mengenai lampu hijau diberikan suaminya, pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, itu mengakui mendapatkan restu Al Adib sebelum menunjukkan wajah si kecil mereka kepada umum.
Apatah lagi sejak kelahiran sehingga berusia empat bulan wajah Aishah belum pernah didedahkan kepada umum kecuali sehari sebelum pelancaran video muzik Cinta Hatiku.
“Aishah masih sangat kecil, jadi saya perlu meminta persetujuan suami dulu. Alhamdulillah, saya dikurniakan suami penyayang serta memahami tuntutan kerjaya seni saya.
“Lagu ini juga dikhaskan buatnya, sekali gus sudah tiba masanya memperkenalkan anak kami kepada umum menerusi klip dendangan khas ini,” luahnya lagi
Jelas Wany lagi, dia memang berhasrat merakamkan bingkisan yang membawakan kisah tentang cahaya mata serta kasih sayang antara ibu dan anak.
“Saya telah meminta label muzik saya, FMC untuk merakam lagu ini dan mereka nyata bersetuju merealisasikan hajat saya.
“Proses rakaman telah dilakukan sebanyak dua kali iaitu pertama sewaktu saya hamil 37 minggu dan kali kedua, disambung selepas saya selamat melahirkan Aishah.
“Sewaktu rakaman, saya dalam keadaan hamil, tapi saya dapat rasakan kehadiran Aishah ketika di studio.
“Sukar untuk digambarkan perasaan saya ketika itu, namun saya cukup teruja kerana itulah kali pertama saya merakamkan lagu dengan ‘ditemani’ seseorang,” katanya.
Mendedahkan kehidupan sebelum dan selepas bergelar ibu sangat berbeza, Wany masih dalam fasa menyesuaikan diri menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
“Bila saya tengok Aishah senyum, hilang semua penat malah ada ketika melihat dia senyum pun boleh buat saya menangis,” ujar Wany yang bergelar isteri sejak 22 Julai 2022.