PETALING JAYA – Sebelum ini ada segelintir individu memandang rendah profesion seorang guru, malah ada juga yang mempertikaikan kadar elaun yang diterima mereka.
Namun disebalik tohmahan tersebut, individu berkenaan tidak tahu bagaimana cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi seorang guru bagi memastikan anak bangsa terus mendapat pendidikan yang berkualiti.
Menerusi satu klip video yang dikongsi di laman Facebook Tawau Troll, ia memaparkan cabaran sekumpulan guru di pedalaman ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Mereka bukan sahaja menaiki motosikal meredah hutan belantara, malah terpaksa ‘berenang’ bersama-sama motosikal menyeberangi sungai dan hampir lemas.
“Besarnya pengorbanan seorang guru demi mendidik anak bangsa menjadi manusia yg berjaya, tidak pernah mengeluh sekali pun.
“Namun, ada juga segelintir ibu bapa yang memandang rendah pada profesion seorang guru, tanpa guru, siapalah manusia yang berjaya.
“Terima kasih cikgu kerana menjadikan kami insan yang berjaya, semoga segala jasamu dibalas di sana,”tulis hantaran itu.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi klip video tersebut dirakam dan tarikh sebenar kejadian itu.
Susulan perkongsian klip video tersebut, rata-rata pengguna terharu dengan pengorbanan seorang guru terutamanya di pedalaman dan mereka mengecam tindakan individu yang mempersoalkan elaun yang diterima mereka.
“Semoga dengan pengorbanan cikgu-cikgu untuk mendidik anak-anak kami dibalas kebaikan. Semoga segala urusan guru-guru di permudahkan Allah,”doa Rohani Yasse.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Sart Gems Sart.
“Abaikan segala tomahan tuan, hanya yang bergelar cikgu sahaja yg memahami pahit manis perjalanan seorang cikgu, teruskan khidmatmu saudara,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE