fbpx

Saya mungkin sertai politik sebab kes ini – Agus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Agus (kanan) bersama Abdul Wahab. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

BANGI – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff memberitahu beliau mungkin menyertai politik selepas terpalit kontroversi dengan seorang penolong pegawai di jabatannya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Mohammad Agus berkata, beliau juga sudah membatalkan rancangan untuk berhijrah ke Indonesia dan akan menetap di Malaysia sehingga kes itu selesai.

“Kes ini tidak mengganggu pelan saya namun saya membuat keputusan untuk tidak pergi ke sana sehingga kes ini selesai kerana ini bukan satu kes yang kecil.

“Malah kalau dahulu saya kata saya tidak akan terlibat dalam politik, namun disebabkan kes ini, saya mungkin sertai politik,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Hotel Tenera, di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan perbualan jelik antara Mohammad Agus dan Abdul Wahab sejak semalam di laman media sosial.

Mendakwa rakaman tular itu disunting pihak tidak bertanggungjawab, Muhammad Agus berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku kepadanya sekali gus menafikan perbuatanya dalam video terbabit.

“Saya ingat ada satu video yang mengatakan bahawa saya berkata (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak boleh terima kritikan.

“Dalam video itu ada suara saya, sebiji sama semua dengan pergerakan bibir dan lenggok badan. Jadi, begitulah dalam dunia teknologi sekarang ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau akan menyerahkan tindakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kesahihan video berkenaan termasuk individu yang didakwa terlibat dalam komplot itu.

Semalam, Mohamad Agus dilaporkan telah menghantar notis perletakan jawatan yang mana akan berkuat kuasa pada 4 Disember depan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI