fbpx

Queenie tepati ramalan raih pingat emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUEENIE masih berupaya meraih pingat emas walaupun sudah sebulan tidak berlatih disebabkan dia ketika ini berada dalam off-season.

PETALING JAYA – Ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni sememangnya tiada tandingan apabila mudah mengungguli Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 di Arena Universiti Malaya sebentar tadi.

Queenie yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pingat emas dengan lemparan sejauh 41.29 meter (m) pada aksi Grand Final itu, menewaskan rakan sepasukannya, Nani Sahirah Maryata di tempat kedua menerusi catatan 36.65m.

Pingat gangsa bagi acara lempar cakera diamond itu dimenangi atlet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Nor Syazwani Rosman dengan catatan 33.84m.

Biarpun catatan itu terlalu jauh dibandingkan rekod kebangsaannya iaitu 52.77m tetapi Queenie, 26, tetap gembira dengan kejayaannya memandangkan dia sudah memasuki fasa off-season ketika ini.

“Sebenarnya saya sedang off-season jadi keputusan yang dicatat hari ini disebabkan tiada latihan yang betul kerana saya sudah berehat selama sebulan.

“Tetapi disebabkan mahu bawa nama UPM, jadi saya habiskan juga tanggungjawab untuk tahun ini di Grand Final untuk tahun ini. Saya gemhira mempertahankan emas ini untuk UPM,” katanya.

Sementara itu, bagi acara lempar cakera platinum yang berlangsung di sebelah pagi, atlet Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Syafiqah Syazlinda Abdul Khalid meraih pingat emas dengan catatan 21.63m.

Pingat perak menjadi milik atlet Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Athirah Nadhirah Ahmad Nazrul dengan 17.41m sementara pingat gangsa dimenangi Nur Insyirah Ahmad Fadzli dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 16.75m. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI