GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusof menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Muhammad Fauzi yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang berkata, perkara itu akan diumumkan secara rasmi oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang pada Isnin depan.
“Berkenaan jawatan Ketua Pembangkang ini secara tidak rasmi, sebab Yang Dipertua DUN belum umumkan tetapi Perikatan Nasional (PN) telah putuskan maknanya saya sebagai Ketua Pembangkang DUN.
“Nama saya juga telah diserah oleh PN kepada Yang Dipertua DUN, dan pada Isnin Yang Dipertua DUN akan umumkan saya sebagai Ketua Pembangkang,” katanya ketika ditemui di bangunan DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, keputusan untuk menamakan beliau sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang telah dibuat oleh kepimpinan PN Pusat.
“Surat mengenai pelantikan saya sebagai Ketua Pembangkang juga telah diberikan dalam tempoh sebulan lalu kepada Speaker,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah perancangan serta pembaharuan yang ingin ingin beliau laksanakan sebagai Ketua Pembangkang DUN, Muhammad Fauzi berkata, semua pihak boleh melihat pembaharuan itu pada Isnin depan.
“Hari Isnin boleh tengok perancangan ini, kita akan turun padang bertemu dengan masyarakat, bila dapat maklum balas pelbagai pihak sudah tentu kita akan ulas dalam DUN nanti supaya kerajaan dapat mencapai objektif,” katanya. – KOSMO! ONLINE