MARANG – Usianya sudah mencecah 71 tahun, namun ia bukan halangan buat seorang pesara guru untuk terus aktif melakukan aktiviti pendakian termasuk melibatkan gunung-gunung di luar negara.
Mat Salleh Che Mat berkata, dia mula terlibat dalam aktiviti lasak itu sejak tujuh tahun lalu dan kini telah mendaki lebih 20 gunung-gunung utama termasuk Gunung Kerinci dan Gunung Rinjani di Indonesia.
“Dua minggu lalu saya berjaya menakluk Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia.
“Minat mendaki gunung bermula daripada ajakan untuk menyertai ekspedisi menawan Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL), Hulu Dungun pada tahun 2016,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payung di sini semalam.
Mat Salleh berkata, keputusannya untuk menceburi aktiviti pendakian adalah didorong untuk mencari kelainan kerana terlalu bosan dengan kehidupan sebagai seorang pesara.
“Saya sememangnya minat dengan aktiviti luar melibatkan alam semulajadi sejak muda lagi.
“Sewaktu masih berkhidmat sebagai guru, saya sering terlibat dalam aktiviti perkhemahan dan berkayak, tetapi tidak pernah mendaki bukit mahupun gunung,” kata datuk kepada enam cucu itu.
Mat Salleh berkata, walaupun sudah dimamah usia, beliau semakin ketagih untuk melakukan aktiviti pendakian kerana bukan sahaja dapat menambah kenalan, malah sebagai satu terapi yang menyihatkan.
Bapa kepada tujuh anak itu memberitahu, beliau bersyukur kerana masih cergas dan sihat tanpa menghidap sebarang penyakit.
“Saya gembira dan berazam menakluk lebih banyak gunung dan bukit lagi walaupun bermula agak lewat selepas bersara sebagai guru” katanya.