BANDAR GAZA – Tidak ada seorang pun pejuang Hamas ditemui di dalam Hospital Al-Shifa, Bandar Gaza selepas serbuan tentera Israel kelmarin di sebalik dakwaan Rejim Zionis bahawa kemudahan tersebut dijadikan kubu pejuang Palestin, lapor akhbar Jerusalem Post.
Dalam serbuan mereka juga, tiada seorang pun tebusan yang ditawan kumpulan Hamas ditemui, manakala tiada pertempuran dramatik berlaku di hospital Al-Shifa.
Cuma ketika tentera Israel cuba memasuki hospital tersebut, lima anggota Hamas terkorban dalam pertempuran kecil yang berlaku, namun tiada pertempuran sengit tercetus seperti pada infrastruktur lain milik Hamas.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari sebelum ini berkata, selepas pejuang Hamas menyusup masuk ke selatan Israel dan membunuh lebih 1,100 penduduk Yahudi serta warga asing pada 7 Oktober lalu, kira-kira 200 anggota pergerakan Islam tersebut melarikan diri ke Hospital Al-Shifa.
Bagaimanapun, ketika sidang akhbar diadakan pada petang kelmarin, dia tidak dapat memberi sebarang jawapan apabila ditanya di manakah kumpulan pejuang Hamas tersebut berada sekarang.
Hagari juga ditanya sama ada kelewatan tentera Israel menyerbu hospital itu menyebabkan anggota-anggota Hamas dan tebusan mereka dipindahkan ke tempat lain. Namun, dia hanya menjawab: “Kami pergi (ke Hospital Al-Shifa) pada masa yang sesuai untuk kami. Kami memindahkan ramai orang awam.”
Katanya, jika lebih ramai orang awam berada di hospital tersebut ketika askar-askar Israel menyerbu masuk, ia mungkin akan membahayakan askarnya.
Bagaimanapun, jurucakap itu juga berjanji bahawa lebih banyak infrastruktur Hamas akan ditemui di Gaza, namun ia akan mengambil sedikit masa.
Pada sidang akhbar sama, Hagari menunjukkan klip video senjata Hamas di samping peralatan ketenteraan dan teknologi perisikan Hamas yang ditemui tentera Israel di Hospital Al-Shifa.
Menurutnya, peralatan itu ditemui semasa lebih 18 jam tentera Zionis mencari pejuang Hamas di kemudahan perubatan tersebut.
Sementara itu, menurut akhbar Times of Israel, Hagari menyatakan, tentera Israel menemui pakaian seragam Hamas yang dilemparkan ke lantai hospital tersebut supaya pejuang Palestin itu boleh melarikan diri dengan menyamar sebagai orang awam.
Tentera Israel berkata, pihaknya akan terus beroperasi di Hospital Al-Shifa, di mana Hamas didakwa menjadikan hospital berkenaan sebagai pusat arahan, bertujuan untuk mencari maklumat risikan dan aset pergerakan Hamas.
Namun, tentera Zionis tidak menemui sebarang pintu masuk terowong di Hospital Al-Shifa selepas mendakwa Hamas telah membina rangkaian terowong di bawah kemudahan perubatan tersebut.
Hamas dan pegawai Hospital Al-Shifa telah berulang kali berkata bahawa tidak ada pos komandonya di bawah hospital tersebut.
Terbaharu, Ketua Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa, Muhammad Abu Salmiya berkata, askar-askar Israel telah berundur dari hospital itu tetapi sejumlah kereta kebal kekal berada di kawasan berhampiran.
Beliau juga mengesahkan bahawa tentera Israel tidak menemui sebarang peralatan ketenteraan atau senjata di hospital itu selain menekankan bahawa pengurusan kemudahan perubatan tersebut tidak membenarkan senjata berada di dalam bangunannnya.
Abu Salmiya juga mendedahkan kepada portal berita Al Mayadeen bahawa tentera Israel menahan dua jurutera perubatan dan menyoal siasat sejumlah kakitangan perubatan di hospital sama.
Dalam pada itu, Hamas mengesahkan bahawa dakwaan Israel bahawa terdapat senjata di Hospital Al-Shifa hanya pembohongan terang-terangan dan propaganda murahan untuk cuba membenarkan jenayah yang dilakukan bertujuan memusnahkan sektor kesihatan Gaza.
Hamas menegaskan bahawa propaganda itu adalah sama seperti yang digunakan oleh tentera Israel untuk mewajarkan serbuah ke atas Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi. Kata Hamas, Rejim Zionis meletakkan senjata di lokasi tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan angka korban penduduk Gaza meningkat kepada 11,230 orang termasuk 4,650 kanak-kanak, 3,145 wanita dan 685 warga tua.
Seramai 3,600 orang awam lain masih hilang atau tertimbus di bawah runtuhan termasuk 1,750 kanak-kanak. – AGENSI