fbpx

KKM saran rakyat berusia 45 tahun jalani saringan kanser kolorektal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (dua dari kiri) ketika melakukan melakuan tinjauan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Program Kolonoskopi Kanser Kolorektal di Kompleks Pakar dan Rawatan Harian, di sini hari ini. FOTO oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru orang ramai, terutamanya yang berusia 45 tahun ke atas untuk menjalankan saringan bagi kanser kolorektal.

Menurut Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Datuk Mohd Azman Yacob, jumlah penghidap kanser kolorektal yang kian meningkat tahun demi tahun membawa cabaran yang besar terhadap institusi kesihatan di negara kita.

Bagi menangani masalah tersebut, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan Program Kolonoskopi untuk Kanser Kolorektal bermula 16 hingga 17 November sebagai satu langkah proaktif untuk menangani masalah peningkatan kanser tersebut.

“Walaupun sesetengah kanser usus berlaku disebabkan faktor keturunan, kebanyakan kes adalah berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat.

“Ia lebih berisiko ke atas individu yang kurang bersenam, tidak makan sayur, banyak makan daging merah, merokok dan sering mengambil minuman beralkohol,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Kolonoskopi untuk Kanser Kolorektal Peringkat Hospital Kuala Lumpur (HKL) 2023, di sini hari ini.

Berikutan daripada itu, KKM juga telah menerbitkan Pelan Strategik Kanser Usus pada tahun 2021 yang bertujuan untuk memberi panduan kepada orang ramai mengenai strategi dan usaha kerajaan dalam menangani kanser tersebut.

“Program hari ini merupakan salah satu pendekatan proaktif oleh HKL dalam menangani kanser kolorektal. Pesakit perlu tahu, prosedur kolonoskopi bersifat tidak invasif.

“Malah, pesakit juga bakal dipantau oleh doktor pakar yang akan memberikan panduan mengenai penjagaan selepas menjalankan prosedur kolonoskopi supaya pesakit boleh pulih dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut Ketua Unit Gastroenterologi, Dr. Gew Lai Teck, sebanyak 53 prosedur kolonoskopi telah dijalankan ke atas pesakit HKL dalam program sama, semalam.

“Dalam masa yang sama, pakar juga melakukan prosedur ‘polipectomy’ ke atas 70 peratus pesakit yang dapat mengurangkan risiko kanser pada masa akan datang.

“Malah, kami juga berjaya mengesan kanser tahap awal dalam kalangan tiga peratus pesakit yang hadir semalam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan orang ramai, terutamanya yang berusia 45 tahun ke atas untuk menjalankan saringan secepat mungkin.

“Di klinik kerajaan, orang ramai boleh membuat saringan dengan harga serendah RM23. Saringan merupakan langkah terbaik untuk mengenal pasti tanda dan gejala awal kanser kolorektal supaya rawatan boleh dijalankan secepat mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI