GEORGE TOWN – Polis telah melengkapkan siasatan berhubung tangkapan seorang pegawai dan enam anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selangor yang dipercayai terlibat dengan kes kecurian pelbagai barangan di sebuah rumah di Air Itam, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, kertas siasatan kes terbabit sudah pun dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
“Kita sudah melakukan siasatan dan kertas siasatan telah diserahkan kepada IPK sebelum dirujuk ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.
“Kes ini diserahkan ke Bukit Aman terlebih dahulu kerana ia membabitkan pegawai dan anggota sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan tujuh anggota polis terdiri seorang pegawai dan enam anggota yang bertugas di Selangor ditahan 10 November lalu bagi membantu siasatan kes curi di rumah seorang lelaki membabitkan kerugian lebih RM10,000.
Masing-masing yang berusia 31 hingga 55 tahun itu ditahan selepas mangsa yang juga tukang paip berusia 40 tahun membuat laporan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin turut mengesahkan penahanan semua anggota polis terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE