PONTIAN – Ahli keluarga Mohd. Ya’acob Demayati, 57, di Pontian mengunci mulut dan enggan memberikan sebarang komen mengenai pembebasan bekas anggota polis tersebut petang semalam.
Mohd. Ya’acob sebelum ini dijatuhkan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat kerana membunuh penyanyi terkenal Allahyarham Along Spoon berasal dari Kampung Medan Sari, Batu 33, Jalan Johor Bahru-Pontian, di sini.
Tinjauan di rumah Mohd. Ya’acob di sini pagi ini dimaklumkan rumah tersebut didiami oleh ibunya yang telah uzur berusia 90-an bersama anak perempuannya berusia 30-an.
“Minta maaf encik, kami tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini,” kata seorang anak saudaranya yang tinggal berhampiran rumah neneknya Kosmo! di sini hari ini.
Sebelum ini, abang kedua kepada Mohd. Ya’acob, seorang bekas anggota keselamatan berusia 67 tahun yang dihubungi petang semalam juga enggan memberikan kenyataan mengenai adiknya itu.
“Berikan kami sedikit masa ya,” ujarnya ringkas.
Dia hanya memberitahu, Mohd. Ya’acob merupakan anak ketujuh daripada 11 adik beradik.
Semalam Mahkamah Persekutuan meminda hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang dikenakan ke atas Mohd. Ya’acob sebelum ini kepada penjara 33 tahun.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. – KOSMO! ONLINE