YANGON – Junta tentera menyatakan bahawa pihaknya menahan dua ketua sindiket penipuan siber yang beroperasi dari sebuah bandar di utara Myanmar dan dikehendaki oleh China, dengan bos ketiga membunuh diri semasa serbuan.
Tempat penipuan online atau markas ‘scammer’ berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar dan dikendalikan oleh rakyat dari China dan negara lain yang sering diperdagangkan dan dipaksa bekerja untuk menipu rakan senegara mereka.
Penipuan online menimbulkan kemarahan Beijing selaku sekutu utama junta dengan China berkali-kali memberitahu tentera untuk membanteras kegiatan itu, yang menurut beberapa penganalisis, bernilai berbilion-bilion dolar setahun.
“Ming Xuechang, Ming Guoping, Ming Julan… telah ditangkap di bandar Laukkai di zon pentadbiran sendiri Kokang,” kata pasukan penerangan junta dalam satu kenyataan lewat semalam.
Ming Xuechang menembak dirinya sendiri semasa ditahan dan meninggal dunia tidak lama kemudian, kata kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut atau menyebut bila ketiga-tiga mereka ditangkap.
Menurut laporan media, Ming Xuechang adalah bekas wakil rakyat bagi wilayah Kokang di Parlimen negeri Shan.
Ming Guoping dan Ming Julan telah diserahkan kepada polis China semalam, kata kenyataan junta.
Pihak berkuasa China mengeluarkan waran tangkap untuk ketiga-tiga mereka dan seorang lagi individu bernama Ming Zhenzhen pada minggu lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan pada tahun ini bahawa sekurang-kurangnya 120,000 orang ditahan di kawasan ‘scammer’ di Myanmar. – AFP