KUALA LUMPUR – Bekas juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Faizal Ramly kini aktif memenuhi jemputan program-program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau ketika ditemui pada Program Hari Apresiasi Kepulihan AADK Tahun 2023 di Hotel Grand Barakah Hotel, Ampang dekat sini hari namun menjelaskan, penglibatannya bagaimanapun bukan secara langsung.
“Saya tak terlibat secara langsung, cuma dipelawa untuk memberi sokongan sebagai seorang yang dikenali. Menggunakan populariti sebagai artis mendekati peserta. Kadang-kala dipelawa menyanyi.
“Membantu mereka (peserta) dengan bercakap perkara-perkara yang baik-baik membentuk pemikiran positif. Bantu motivasi. Banyak tempat saya pergi sejak setahun lalu. Sama-sama kita membantu,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal berkata, kehadirannya dalam program-program anjuran AADK juga bemanfaat buat dirinya kerana berada dalam suasana yang dapat beliau pelajari.
Hari Apresiasi Kepulihan AADK adalah acara tahunan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih AADK terhadap usaha semua nadi penggerak yang terlibat dalam penyampaian perkhidmatan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Seramai 360 peserta yang terdiri daripada Mentor Kepulihan AADK, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) AADK, klien serta ahli Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSKK) AADK daripada seluruh negara terlibat dalam penganjurannya tahun ini.
Ia turut disertai ahli Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSKK) daripada seluruh negeri untuk sama-sama berkongsi kisah, rasa hati dan rakan yang paling efektif dalam membimbing ahli keluarga yang sedang diuji dengan permasalahan dadah. – KOSMO! ONLINE