LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate dijangka akan terus melakukan eksperimen terhadap pemainnya dalam dua aksi terakhir Kumpulan C kelayakan Euro 2024 bertemu Malta dan Macedonia Utara.
Pada perlawanan menentang Malta di Stadium Wembley, awal pagi esok, Southgate bermungkinan besar akan menggunakan khidmat Trent Alexander-Arnold di posisi tengah.
Kehadiran Marcus Rashford ke kem latihan beri khabar gembira buat England dan bintang Manchester United itu dijangka akan mendapat kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama.
Rashford pasti akan memudahkan Southgate untuk membuat penilaian akhir kerana tidak pernah untuk memandang rendah cabaran yang bakal diberikan Malta.
Di posisi pertahanan, Marc Guehi menjadi antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi kesebelasan utama ketika bintang Crystal Palace itu turut mengimpikan tempat ke pusingan akhir Euro tahun depan.
“Adalah sukar untuk saya memikirkan tentang kesebelasan utama kerana pasukan ini turut memiliki ramai pemain terbaik. Namun, saya akan mencuba dan mahu berikan cabaran kepada mereka.
“Ezri Konsa, Fikayo Tomori, Harry Maguire adalah pemain terbaik, malah John Stone juga sudah kembali. Terdapat ramai pemain dan agak sukar untuk saya bayangkan persaingan diantara kami,” jelasnya. – AGENSI