fbpx

DUN Selangor: Seragam undang-undang kecil operasi taska di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anfaal ketika sesi penggulungan perbahasan di DUN Selangor, hari ini.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri bersetuju untuk memulakan program rintis di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggerakkan usaha penyeragaman undang-undang kecil berkaitan pengoperasian taska di rumah.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, ini selepas hasil dua siri pertemuan dan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi persekutuan berkenaan bagi menyelesaikan isu taska tidak berdaftar yang beroperasi di rumah.

Katanya, program rintis tersebut bertujuan memudahkan urusan permohonan dan menggalakkan pendaftaran para pengusaha taska di rumah.

“Langkah seterusnya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak. Agenda ini akan dimuatkan di dalam Dasar Ekonomi Penjagaan yang sedang dirangka dan dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun 2024,” katanya pada sesi penggulungan Belanjawan Selangor, hari ini.

Kosmo! pada Rabu lalu melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (PH-DAP) yang membangkitkan isu agar PBT Selangor perlu menyemak semula syarat-syarat penubuhan pusat asuhan, taska atau tadika yang terlalu ketat sehingga menggalakkan kewujudan premis berkaitannya beroperasi secara haram.

Anfaal yang merupakan ADUN Taman Templer menjelaskan, sememangnya keselamatan kanak-kanak yang berada di tempat pengasuhan dan pusat penjagaan tidak boleh dikompromi.

Namun, kata beliau, isu ini perlu ditangani dengan lebih teliti kerana melibatkan penguatkuasaan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska ) 1984 serta Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 serta undang-undang kecil peringkat PBT. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI