IPOH – Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sekitar Ipoh pada Oktober lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Naharoddin, 28, dan abangnya, Ahmad Fazrin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dua beradik dipercayai ahli Geng Bulat itu didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap harta milik seorang wanita berusia 36 tahun iaitu wang tunai RM200.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai di Persiaran Raja Perempuan Mazwin Selatan, Desa Rishah Indah, Ipoh pada pukul 3.35 petang, 12 Oktober 2023.
Mereka juga didakwa melakukan rompak dengan bersenjatakan sebilah parang ke atas wanita berusia 50 tahun apabila mencuri dua telefon bimbit, sebentuk cincin emas, beg tangan mengandungi kad pengenalan dan kad kredit serta sepasang subang emas.
Dua beradik itu melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai komputer di Persiaran Desa Rishah, Desa Rishah Menglembu pada pukul 11.30 pagi, 23 Oktober 2023.
Pada prosiding sama, Ahmad Fazrin didakwa bersama seorang lagi masih bebas melakukan perbuatan sama terhadap wanita berusia 35 tahun iaitu dua telefon bimbit dan wang tunai RM130 dengan bersenjatakan pisau di sebuah kedai di Persiaran Meru Point, Taman Seri Meru pada pukul 9 malam, 5 Oktober 2023
Lelaki itu juga didakwa melakukan jenayah sama melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun iaitu wang tunai RM216 dan sebentuk cincin dengan bersenjatakan pisau di sebuah farmasi di Jalan Tun Abdul Razak pada pukul 12.30 tengah hari, 6 Oktober 2023.
Dia turut didakwa melakukan rompak dengan bersenjatakan pisau iaitu wang tunai RM400, kad pengenalan dan kad bank milik seorang wanita berusia 23 tahun di Hala Perusahaan Menglembu 13, Taman Perindustrian Menglembu Jaya pada pukul 6.30 petang, 17 Oktober 2023.
Kelima-lima pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj dan Qurratu’aini Khalifah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua beradik yang diwakili peguam R. R. Segaran itu kemudian dibenarkan ikat jamin dengan Mohamad Hafiz sebanyak RM10,000 manakala Ahmad Fazrin pula RM25,000 masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 11 Januari 2024. – KOSMO! ONLINE