PETALING JAYA – Adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Mohamed Nazir hari ini melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya, Yati Zainuddin.
Menurut Mohamed Nazir, dia mengenali isterinya yang juga seorang ahli perniagaan ketika bersama-sama belajar di United Kingdom sekitar tahun 1980-an.
“Saya kahwin hari ini dan menjadi suami kepada Yati Zainudin. Kehidupan sangat sukar diramal. Kisah kami teringat kembali pertemuan pada pertengahan 1980-an, ketika kami berdua belajar di UK, walaupun saya berusaha sedaya upaya (dapatkan Yati) kami hanya kawan.
“Kami kemudiannya menjalani perjalanan hidup yang sangat berasingan, dia di New York selama 27 tahun. Saya tidak pernah bermimpi bahawa laluan kami akan bertembung kembali, lebih-lebih lagi pada masa ini.
“Takdir kini telah mempertemukan kami, syukur kerana masih ada masa untuk membina kehidupan baru sebagai pasangan suami isteri,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram lewat petang tadi.
Bercerita lanjut, Mohamed Nazir memaklumkan majlis akad nikahnya bersama Yati telah berlangsung pada pagi tadi.
“Kami amat bersyukur kepada Allah SWT atas peluang ini. Kami adakan majlis akad nikah pada pagi tadi. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang memberi ucapan dan kami terharu mendengarnya,” kongsinya.
Terdahulu, Mohamed Nazir pernah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Azlina Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata, namun pasangan tersebut telah berpisah tahun ini. – KOSMO! ONLINE.