fbpx

Cerita dalam bilik, dua sahabat tunai janji jadi Inspektor polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Shamelia (kiri) dan Nur Alya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Pelatih Bil 10 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

PETALING JAYA – “Tak dapat jadi cikgu, kita janji jadi polis sama-sama.”

Itulah kata-kata janji dua sekawan, Inspektor Nurul Shamelia Mohd. Yusuff, 26, dan Inspektor Nur Alya Afrina Rizurwan, 26, sewaktu mereka bersama-sama menuntut di Universiti Sains Malaysia.

Rakan baik ini bukan sahaja belajar di universiti yang sama, malah mereka juga adalah rakan sebilik selama empat tahun dari 2017 hingga 2021.

Berlatarkan pengalaman sebagai pelatih Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), graduan Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian itu berjaya membuktikan cita-cita yang dikongsi bersama mampu membawa mereka lulus dengan cemerlang latihan kepolisan sebagai pegawai kanan polis.

Menurut Nurul Shamelia, sewaktu di universiti, mereka selalu berborak tentang impian masing-masing dan berharap ia akan menjadi realiti satu hari nanti.

“Kalau sembang dalam bilik, salalu tanya apa cita-cita kau, dua-dua kata cikgu dan polis. Siap janji tak dapat cikgu, nanti kita usaha sama-sama untuk jadi polis. Tak sangka, cerita dalam bilik jadi realiti buat kami berdua,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 538 pelatih diraikan dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Pelatih Bil 10 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sementara itu, Nur Alya berharap agar dia dan rakan baiknya dapat bertugas di negeri yang sama atau berdekatan agar hubungan persahabatan mereka tidak terputus.

“Kalau dah jadi polis ini, sudah pasti masa agak terhad, akan sibuk dengan hal-hal berkaitan. Saya berharap juga saya dan Nurul Shamelia dapat bertugas dalam satu negeri atau kawasan berdekatan.

“Kami dapat jumpa macam biasa, kalau dah jauh, mungkin kami sangat susah nak jumpa dah macam sekarang.

“Soal dapat unit mana, saya bersedia sahaja. Sebab sejak saya daftar masuk sebagai seorang pelatih Inspektor sembilan bulan lalu, saya sudah persiapkan diri untuk berkhidmat kepada negara serta masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI