BUENOS AIRES – Kehadiran Marcelo Bielsa sebagai ketua jurulatih Uruguay bermula 15 Mei lalu telah menyaksikan peningkatan prestasi yang ketara buat bekas juara dunia dua kali itu.
Sebelum ini ramai yang memperkatakan Uruguay bernasib baik untuk menamatkan kemarau 22 tahun apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brazil pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Estadio Centenario, Montevideo bulan lalu.
Bagaimanapun, La Celeste membuktikan ia bukan sekadar nasib tetapi disebabkan magis hebat Bielsa menerusi kemenangan hebat 2-0 ke atas Argentina dalam aksi kelayakan benua Amerika Selatan itu di Stadium La Bombonera pagi tadi.
Kemenangan itu secara tidak langsung turut meleburkan rekod tanpa kalah Argentina dalam 14 perlawanan antarabangsa berturut-turut sejak juara dunia tersebut tewas 1-2 kepada Arab Saudi pada aksi pertama Piala Dunia Qatar 2022.
Menariknya, ini adalah kali pertama Uruguay berjaya menewaskan Brazil dan Argentina dalam kalendar tahun yang sama sejak 1960.
“Kami menang bukan kerana nasib. Kami menang disebabkan taktikal yang berkesan dan para pemain menjalankan tugas mereka dengan begitu cemerlang,” kata Bielsa.
Dua gol Uruguay dalam aksi itu dijaringkan oleh tonggak pertahanan Barcelona, Ronald Araujo dan penyerang Liverpool, Darwin Nunez masing-masing pada minit ke-41 serta 87.
Uruguay kini melonjak ke tangga kedua dengan 10 mata, hanya dibezakan dua mata di belakang pasukan Argentina yang masih menerajui carta kelayakan bagi benua Amerika Selatan. – AGENSI