fbpx

Bekalan ikan cukup, jangan suka-suka naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faiz (kanan) menyerahkan bantuan peralatan menangkap ikan kepada nelayan pada program Ramah Madani bersama Nelayan di Kijal, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) tidak sepatutnya menjadi alasan pemain industri untuk sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan di pasaran tempatan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemantauan pihaknya mendapati bekalan ikan pada masa ini tidak banyak terjejas walaupun MTL sudah bermula hampir seminggu lalu.

“Hanya nelayan zon A (tradisional) Pantai Timur yang terkesan tidak dapat turun ke laut pada permulaan MTL kali ini akibat bot mereka kecil.

“Nelayan zon B, C, C2 (laut dalam) masih boleh ke laut, Pantai Barat (Semenanjung) dan Sabah serta Sarawak juga tidak terjejas,” katanya ketika ditemui pada program Ramah Madani bersama nelayan Kijal dan Kemasik di sini hari ini.

Kosmo! 11 November lalu melaporkan harga beberapa ikan ‘rakyat’ seperti selayang, kembong, selar dan kerisi di pasar-pasar basah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mengalami kenaikan sehingga 15 peratus sejak minggu lalu.

Peniaga-peniaga pasar berkenaan mendakwa peningkatan itu disebabkan cuaca yang semakin tidak menentu ekoran impak MTL.

Muhammad Faiz berkata, kestabilan bekalan ikan pada masa ini dikukuhkan dengan penyediaan 1,700 tan metrik ikan sejuk beku oleh LKIM sebagai stok penimbal.

Sehubungan itu, beliau benar-benar berharap pemain industri seperti pemborong, peraih, pengangkutan dan peruncit tidak menjadikan alasan ketibaan MTL untuk mengambil kesempatan menaikkan harga ikan.

“Mereka perlulah mempunyai sikap tanggungjawab membantu rakyat mendapat harga ikan berpatutan supaya kos sara hidup diminimumkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI