PETALING JAYA – Kontroversi membabitkan pempengaruh, Zhiddin Aziz yang dikecam akibat menciplak nukilan orang lain turut meraih perhatian penyanyi dangdut Baby Shima.
Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu menempelak tindakan anak muda berusia 21 tahun terbabit yang didakwa seakan tiada harga diri.
Kata personaliti sensasi itu, selaku pempengaruh media sosial, Zhiddin sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai terutama generasi muda.
“Dah la menangis tak dapat anugerah. Lepas itu, menciplak karya orang pula.
“Katanya ada harga diri, meniru karya orang itu ada harga diri ke?
“Macam itu ke influencer (pempengaruh)? Patutlah tak boleh menang anugerah,” tulisnya dalam Instagram Story.
Menerusi perkongsian lain, Baby Shima dalam nada menyindir mengingatkan Zhiddin supaya jangan masuk campur isu membabitkan individu lain.
Daripada perkongsian tersebut, jelas menunjukkan anak kepada pengacara popular Allahyarham Aziz Desa itu pernah ‘mencuitnya’.
“Lain kali jangan sibuk hal orang. Orang tak kacau kau. Nak sibuk sangat kacau Shima, terpaling ikon.
“Jangan asyik suka buat konten tentang hal orang lain dan jagalah tepi kain sendiri supaya jangan terselak,” luahnya.
Kontroversi tercetus selepas Zhiddin mempertikaikan namanya tidak diumumkan dalam Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) 2023, sedangkan sudah dijemput hadir, baru-baru ini.
Susulan itu, individu bernama Khairul Afsan yang juga bekas pemidato peringkat antarabangsa tampil mendakwa potongan teks pidato dibacakan Zhiddin adalah nukilannya bersama rakan seangkatan Amirrudin Abd. Rahman pada 2011.
Membalas teguran itu, Zhiddin mengakui dia tidak mengetahui siapa penulis asal karya tersebut selain menyatakan mengambil petikan berkenaan dengan niat mahu memartabatkan bahasa Melayu. – KOSMO! ONLINE