fbpx

Arif layak dapat pengiktirafan lima bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELINCAHAN Arif Aiman Hanapi (tengah, no. 12) sering mengucar-kacirkan pertahanan Kyrgyzstan. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi membuktikan dirinya kini sudah bertaraf bintang Asia apabila terbabit dalam kesemua empat gol Harimau Malaya yang tewaskan Krygyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Walaupun penjaring dua gol, Dion Cools diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan dan perhatian lebih kepada Faisal Halim yang meledak jaringan kemenangan, Arif juga wajar diangkat sebagai wira di mata peminat tempatan.

“Terkejut juga kerana kita kena (bolos) tiga gol tetapi tiada sebab untuk kami mengalah, jadi kami terus lakukan yang terbaik dan dapatkan tiga lagi gol untuk menang.

“Tak percaya juga dapat bangkit kerana kami menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Tetapi apa yang penting adalah kami meraih kemenangan.

“Kemenangan ini sangat penting untuk kami mendapat tiga mata dan juga mata ranking,” katanya.

Ini bukan kali pertama Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 dan 2022 ini ‘mendonia’ kerana turut pernah berada dalam kesebelasan terbaik Liga Juara-Juara Asia pada perlawanan kedua selepas meledak dua gol untuk bantu JDT menang 4-2 ke atas BG Pathum United, bulan lalu.

Pada perlawanan kelmarin, dua sepakan penjuru Arif berjaya ‘dihidu’ baik oleh Cools untuk menghasilkan gol pembukaan dan ketiga malah pemain 21 tahun itu memaksa Khristiian Brauzman tertampan bola ke gawang sendiri sebelum melakukan sentuhan emas yang disempurnakan oleh Faisal Halim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN