fbpx

Anwar temui Presiden Peru, Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Peru.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra dan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong.

Pertemuan itu diadakan sempena Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat.

Menurut Anwar, Boluarte dalam pertemuan itu memohon Malaysia mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk menjadi pemudah cara pensijilan halal bagi produk di negara tersebut.

“Presiden Boluarte turut mempelawa saya ke Peru tahun depan sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan negara itu.

“Saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Peru baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, beliau dan Presiden Peru seterusnya membincangkan aspek peluang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara selain menyentuh isu pemerkasaan wanita dan perubahan iklim.

“Malaysia juga menyokong usaha Peru untuk mewujudkan status Perkongsian Pembangunan dengan ASEAN,” katanya.

Anwar ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Vietnam.

Terdahulu, Anwar dalam hantaran berasingan berkata, beliau dan Presiden Vietnam bersetuju untuk kedua-dua negara meningkatkan kerjasama bagi menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.

Kata beliau, kedua-dua mereka turut membincangkan isu Laut China Selatan dan bersetuju mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan serta menggesa agar perbincangan Kod Tatalaku di Laut China Selatan dapat segera dimuktamadkan.

Tambah beliau, turut dibincangkan mengenai kaedah untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama antara Malaysia dan Vietnam meliputi pelbagai bidang.

“Vietnam juga meminta Malaysia memudahkan kemasukan produk halal dari negara itu dan menjalin kerjasama dalam pensijilan halal.

“Diakhir pertemuan, saya sekali lagi mengulangi jemputan kepada Presiden Vietnam untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI