CHISINAU, Moldova – Jari Presiden Austria, Alexander Van der Bellen digigit oleh anjing peliharaan rakan sejawat beliau, Maia Sandu ketika Bellen melawat Moldova, lapor portal berita RT semalam.
Ketika kejadian, Sandu memperkenalkan anjing peliharaannya, Codrut yang kehilangan satu kakinya dalam kemalangan jalan raya dan pernah menjadi haiwan terbiar kepada Bellen dan Presiden Slovenia, Natasa Musar.
Dalam gambar yang disiarkan oleh media Moldova, pemimpin Austria itu membongkok untuk menepuk-nepuk kepala Codrut dan anjing itu membalas dengan menggigit jarinya.
Insiden diplomatik dirakam kamera televisyen dan disiarkan oleh saluran TVR Romania.
Bellen tidak mengulas secara rasmi mengenai kejadian itu.
Bagaimanapun, seorang jurugambar melihat Presiden Austria itu dengan tangan berbalut semasa dia memasuki Istana Presiden sebelum menandatangani dokumen bersama Sandu.
Bellen dan Musar berbincang dengan Sandu tentang sokongan kuat kedua-dua negara tersebut kepada Moldova yang berhasrat menganggotai Kesatuan Eropah (EU). – AGENSI