PETALING JAYA – Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana susulan amaran cuaca buruk yang diramalkan di beberapa negeri.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi satu kenyataan berkata, notis siap siaga itu dikeluarkan pukul 3 petang hari ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Terdahulu, MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan berterusan dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan dan seluruh Terengganu sehingga 20 November ini.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, manakala Sabah di Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” kata MetMalaysia.
Jabatan itu menerusi kenyataan berasingan memberitahu, analisis model-model cuaca mendapati luruan monsun dijangka berlaku sehingga 21 November 2023.
Jelas MetMalaysia, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di pantai timur dan utara Semenanjung serta Sabah dalam tempoh berkenaan.
“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan,” kata MetMalaysia.
Tambah MetMalaysia, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang juga berpotensi berlaku di negeri-negeri lain pada sebelah petang hingga ke malam. – KOSMO! ONLINE.