SEBERANG PERAI – Parti Amanah Negara (Amanah) tetap menyimpan harapan agar ada dalam kalangan wakil mereka dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang baharu meskipun menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat pertimbangan.
Kenyataan itu disuarakan sendiri oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Kepala Batas di sini, malam tadi.
“Jika diikutkan, nama dalam kalangan semua ahli Amanah ini layaklah (untuk menjadi Menteri KPDN).
“Kami (Amanah) ada 200,000 ahli secara keseluruhannya dan mereka semua layak. Dalam hal ini, saya kata tadi, kita mengharap tapi adalah menjadi hak PM (Perdana Menteri) kerana PM yang akan menentukan kabinetnya,” ujar beliau.
Menteri KPDN sebelum ini yang juga Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lalu selepas disahkan mengalami pendarahan otak.
Portfolio kementerian itu pula kini dipangku oleh Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) iaitu Datuk Armizan Mohd Ali. – KOSMO! ONLINE