fbpx

Terima panggilan scammer setiap hari!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

RASANYA perasaan kecewa dengan kegiatan scammer sudah hampir memuncak. Apa tidaknya jika, masuk sahaja pukul 8 atau 9 pagi akan masuk ke telefon bimbit penulis panggilan daripada scammer. Hampir setiap hari!

Peliknya, mereka ini membuat panggilan pada waktu bekerja sahaja. Ya, mereka memang licik. Setiap kata-kata, pemilihan waktu dan sasaran mangsa telah dikaji dan disusun dengan teliti. Tinggal lagi ‘kes’ yang cuba dipancing mengena atau tidak sahaja.

Berdasarkan statistik, kerugian RM2.6 bilion sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2023 dan 43,959 scammer ditahan dalam tempoh itu, memperlihatkan kepada kita betapa seriusnya ‘industri penipuan’ berkenaan.

Bagi kes penipuan melalui panggilan telefon sebanyak RM637 juta kerugian dicatatkan daripada 10,925 kes, manakala belian dalam talian (RM365 juta/33,073 kes) dan pinjaman tidak wujud (RM210 juta/20,360 kes).

Love scam pula (RM268 juta/5,761 kes) dan penipuan pelaburan (RM984 juta/10,718 kes). Banyak lagi bentuk penipuan yang tidak boleh disenarai satu persatu di sini seperti tawaran pekerjaan palsu termasuk taktik menggunakan gambar tokoh dan ustaz terkenal untuk memancing orang ramai melabur skim pelaburan syariah.

Kita juga boleh membayangkan jika lebih 40,000 scammer ditahan, berapa ramai pula yang gagal ditangkap dan berjaya meloloskan diri? Pasti berganda. Begitu juga berapa ramai mangsa yang ditipu tetapi enggan membuat laporan.

Ternyata industri scammer sangat besar, kuat, tersusun dan licik. Manakan tidak jika pulangannya sangat menguntungkan. Jika dahulu geng penjenayah terpaksa bergadai nyawa untuk merompak bank atau kedai-kedai emas, namun kini mereka hanya bersenjatakan air liur!

Apa yang mengecewakan adalah kunci permulaan kepada jenayah ini ialah nombor telefon mangsa dan sedikit maklumat asas mangsa. Dari manakah penjenayah ini memperolehnya?

Tentu sekali ada tali barut yang bersekongkol dengan kumpulan berkenaan dan mungkin mendapat sedikit habuan dengan menjadi ‘pembekal’ maklumat diri orang ramai. Ironinya mereka ini seolah-olah terlepas daripada tindakan undang-undang.

Timbul juga persoalan bagaimana sindiket ini boleh menggunakan nombor-nombor telefon daripada pelbagai syarikat telekomunikasi sedangkan sepatutnya setiap nombor berkenaan boleh dijejaki dengan mudah melalui pendaftaran yang diwajibkan kepada setiap pengguna termasuk warga asing.

Begitu juga sepatutnya pihak berkuasa menyediakan platform lebih mudah untuk orang ramai membuat aduan mengenai panggilan scammer memandangkan cubaan penulis sendiri untuk membuat aduan sangat sukar dan sehingga hari ini langsung tidak menerima apa-apa jawapan balas daripada agensi yang berkenaan.

Jika pihak berkuasa tidak membanteras akar umbi daripada jenayah scammer ini, saya percaya kegiatan tersebut akan terus menggila dan berleluasa ‘merompak’ wang ringgit hasil titik peluh dan penat lelah mangsa bekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI