fbpx

Rasai pelayaran penuh romantis di Timah Tasoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelayaran katamaran di kawasan Tasik Timah Tasoh.

PANORAMA langit biru yang diserikan dengan kehijauan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan menerbitkan ketenangan luar biasa kepada penulis.

Pergerakan katamaran yang perlahan ketika berlayar di Tasik Empangan Timah Tasoh (Tasik Timah Tasoh), Padang Besar, Perlis serta tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi nikmat kepada suasana tersebut.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pengalaman menaiki katamaran terasa seakan-akan sedang bersantai di atas sebuah kapal layar mewah. Apa tidaknya, pemandangan bukan sahaja boleh dinikmati secara duduk, malah dalam keadaan baring.

Bertambah unik, katamaran berupaya membawa pengunjung ke kawasan Kampung Tasoh lama yang telah ditenggelamkan ketika empangan itu siap sepenuhnya pada 1992.

Kawasan tersebut tidak boleh diakses dengan pengangkutan air lain kerana paras airnya yang cetek.

Tambah menarik, terdapat kawasan pohon semalu air di tasik berkenaan.

Ia bagaikan terbahagi dua saat katamaran melalui kawasan tersebut, sekali gus mewujudkan suasana bak dalam filem romantis.

WINDSURFING merupakan salah satu aktiviti sukan air yang ditawarkan di Tasik Timah Tasoh.

Pengalaman menaiki katamaran itu boleh dilakukan seisi keluarga termasuk anak kecil dan warga emas kerana sifatnya yang mudah dikendalikan serta tidak berbahaya.

Pengasas Hermission House, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd. Thalal Wafa berkata, perkhidmatan katamaran ditawarkan pihaknya merupakan yang pertama dan satu-satunya di Malaysia.

“Satu katamaran boleh dinaiki empat orang dengan berat maksimum 260 kilogram.

“Jadi, ramai keluarga datang untuk mencuba aktiviti santai ini sambil mengelilingi Tasik Timah Tasoh.

“Kami menyediakan tiga pakej iaitu pakej ‘amik feel’, ‘jiwa bebas’ dan ‘jejak tasoh’ yang menawarkan masa belayar, harga serta kelebihan bergambar berbeza,” jelasnya.

Untuk rekod, Hermission House merupakan usaha sama Sharifah Nadiah dan rakan baiknya, Siti Nursarah Saleh­ Hodin dalam usaha menjadikan sukan itu lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Selain katamaran, pihaknya turut menawarkan aktiviti sukan air seperti mega stand up paddle, stand up paddle, kayak dan windsurfing.

Ujar Sharifah Nadiah, tempoh paling sesuai untuk merasai semua sukan air tersebut adalah pada musim Monsun Timur Laut kerana keadaan angin kencang, sekali gus menjadikan aktiviti air lebih menyeronokkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI