PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menggesa pemimpin dunia mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera dalam konflik Gaza-Israel dan membuka koridor bantuan kemanusiaan secara kekal ke Semenanjung Gaza.
Baginda bertitah, tindakan pemimpin dunia amat perlu dalam menyokong usaha yang diselaraskan oleh organisasi kemanusiaan untuk menghantar bekalan penting dan membantu kumpulan tempatan di lapangan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan, selain menyelamatkan maruah rakyat dalam penderitaan.
“Mereka datang dari semua lapisan masyarakat, mengamalkan agama berbeza dan bertutur bahasa berlainan namun mereka memiliki satu suara mahukan keamanan, hidup dalam harmoni dan saling menghormati.
“Beta berdiri di sini bukan sahaja sebagai Permaisuri, tetapi sebagai ibu, anak-anak yang amat disayangi. Beta berdiri di sini sebagai manusia dan kita mesti tegas bersuara supaya semua ini dihentikan,” titah baginda pada sidang kemuncak ‘United for Peace in Palestine’ di Istanbul semalam.
Sidang kemuncak yang diilhamkan Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan itu dihadiri oleh setiap pasangan ketua negara dan kerajaan serta wakil negara.
Setiap daripada pasangan negara atau wakil diberi 10 minit untuk menyampaikan kenyataan mereka.
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong turut mengakui tidak boleh untuk terus berdiam diri melihat pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat di Gaza dan baginda melahirkan kebimbangan terhadap situasi keselamatan rakyat di sana.
Titah baginda, gencatan senjata membolehkan setiap organisasi kemanusiaan menghantar bekalan penting, manakala kumpulan tempatan pula boleh menyediakan perkhidmatan kecemasan yang diperlukan.
“Semua ini diperlu untuk menyelamatkan rakyat yang menderita. Kita mesti menggesa pembukaan kekal koridor kemanusiaan ke Gaza supaya bantuan dapat disalurkan,” titah baginda.
Baginda bertitah, penduduk di negara yang dilanda peperangan, kesusahan dan konflik, berhak untuk hidup dengan aman.
“Beta dengan rendah hati bercakap untuk setiap seorang daripada mereka dan sebagai seorang Muslim, harus diingat adalah menjadi kewajipan kita sebagai manusia untuk menuntut penamatan semua permusuhan”, titah baginda. – KOSMO! ONLINE