BUENOS AIRES – Jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa sedia untuk merangka strategi terbaik dalam usaha mereka mencatat kemenangan ke atas Argentina pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium La Bombonera pagi esok.
Skuad La Celeste itu turut mendapat tonik tambahan apabila menyambut kepulangan dua pemain penting, Luis Suarez dan Jose Maria Gimenez yang kembali dipanggil Bielsa bagi menyarung jersi Uruguay.
Bagaimanapun, ia bukanlah tugas mudah buat Uruguay memandangkan mereka berkunjung ke gelanggang lawan selain bakal berdepan Argentina yang berada pada prestasi terbaik mereka ketika ini.
Gimenez tanpa berselindung mengakui, mereka perlu memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut kerana dia menganggap bahagian tengah Argentina yang diterajui Rodrigo De Paul sukar untuk ditembusi.
“Rodrigo (De Paul) dan Nahuel (Molina) adalah pemain yang sangat penting untuk Argentina dan kelab kami (Atletico Madrid). Bagi saya, jika mereka tidak bermain, ia sesuatu yang sangat baik untuk Uruguay.
“Perlawanan dengan Argentina sentiasa menjadi satu aksi klasik di Amerika Selatan kerana ia sangat kompetitif selain melibatkan fizikal dan mental. Sesiapa yang kurang buat kesilapan akan menang nanti,” katanya.
Untuk rekod, Uruguay menghuni tangga kedua dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan dengan tujuh mata, manakala Argentina gah di kedudukan teratas mengumpul 12 mata selepas menang kesemua empat perlawanan. – KOSMO! ONLINE