BUENOS AIRES – Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengakui bintang pasukan itu, Lionel Messi cergas sepenuhnya dan boleh diturunkan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay di Stadium La Bombonera pagi esok.
Terdahulu, tahap kecergasan pemain Inter Miami itu menjadi persoalan memandangkan sudah lama berehat daripada aksi kompetitif apabila dia hanya bermain sekali dalam tempoh 25 hari terakhir.
Bagaimanapun, Scaloni berkata, meskipun tanpa aksi kompetitif, namun bekas pemain Barcelona itu sentiasa menjalani latihan bagi memastikan tahap kecergasan dan tahap stamina berada dalam keadaan baik.
“Messi tidak ada sebarang masalah pada ketika ini. Bagi saya, dia memiliki tahap kecergasan terbaik dan menjalani latihan seperti biasa walaupun hanya bermain sekali dalam tempoh 25 hari.
“Khidmat Messi amat diperlukan dalam pasukan dan dia juga sentiasa mahu memberikan sumbangan. Oleh itu, kehadirannya sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada pasukan dan pemain-pemain lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mahu semua peminat menghargai kehadiran Angel Di Maria dalam pasukan tersebut memandangkan dia sudah menyuarakan keinginan untuk bersara sebaik saingan Copa America 2024 berakhir.
“Masih ada banyak hari sebelum aksi Copa America. Saya masih belum mahu fikirkan mengenai hari perpisahan dengannya (Di Maria), begitu juga Messi. Marilah kita hargai aksinya sebelum hari tersebut tiba,” ujar Scaloni. – KOSMO! ONLINE