SEBAGAI seorang yang dilahirkan dalam keluarga Islam dan menjalankan syariah Islam, perlukah untuk mengulangi syahadah? Ini adalah berkaitan dengan rukun Islam yang menyatakan mengucap dua kalimah syahadah. Adakah perlu dilafazkan di hadapan ulama? Adakah lafaz ulangan ini hukumnya sunat muakkad?Jika tidak melakukan lafaz tersebut, menjadikan seseorang itu mengingkari arahan Nabi SAW?
JAWAPAN: Persoalan ini dengan sendirinya akan terjawab kalau kita perhatikan makna harfiyah pada perkataan syahadah.
Apa maksud syahadah itu? Syahadah membawa maksud penyaksian. Seorang yang bersyahadah pada asasnya dia sedang bersaksi. Pertanyaan, mengapa perlu bersaksi?
Sebagai contoh, mengapa seseorang itu harus bersaksi di mahkamah? Untuk apa bersaksi atau berikrar di hadapan hakim?
Jawapannya adalah untuk menegaskan kepada khalayak tentang persepsi, pemahaman, keyakinan serta pendirian dirinya. Tetapi kenapa perlu ada penyaksian? Ini kerana, pada ketika itu belum jelas pendiriannya sehingga seseorang itu perlu bersaksi di hadapan hakim dalam pengadilan mahkamah.
Di masa lalu, setiap kali ada yang masuk Islam, Nabi SAW meminta mereka melakukan penyaksian iaitu melafazkan dua kalimah syahadah.
Ia sebagai tanda bahawa mulai saat itu dia sudah berpindah agama dan menjadi pengikut Islam.
Justeru, bagaimana pula dengan mereka yang telah pun menjadi Islam atau Muslim sejak dilahirkan? Adakah diperlukan lagi untuk melafazkan penyaksian syahadahnya?
Jawapannya adalah tidak perlu lagi bersyahadah. Mengapa?
Sebab dalam kehidupannya seharian, semua ciri, perilaku dan penampilannya sudah menunjukkan bahawa dirinya seorang Muslim iaitu dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala dilarang oleh agama. Oleh yang demikian, penyaksian itu tidak lagi diperlukan. Bahkan, tidak ada kepentingannya lagi.
Secara akidahnya, keyakinan dan fikrah sudah dapat dipastikan bahawa dirinya mentauhidkan Allah SWT dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul-Nya serta kesetiaan untuk menjalankan semua perintah-Nya.
Mengapa seseorang yang sejak dilahirkan sudah demikian keadaannya masih lagi dipersoalkan tentang keislamannya, dengan perlu diulang syahadahnya?
Adakah anak-anak para sahabat Nabi, para tabiin, para ulama salaf dan setiap lapisan generasi Muslimin sepanjang 14 abad itu pernah melakukan proses ulangan syahadah, padahal mereka lahir sudah jadi Muslim?
Sudah tentu tidak pernah. Sebab mereka memang sudah Muslim, sejak dilahirkan dan selama 24 jam setiap hari dalam kehidupan mereka.
Bahkan, ketika mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat, itu adalah ‘syahadah’ mereka.
Ketika Ramadan mereka berpuasa, maka itu juga adalah syahadah mereka.
Ketika berzakat atau pergi haji ke Baitullah, itu juga adalah syahadah mereka. Justeru untuk apa lagi mereka bersyahadah?
Adakah pihak-pihak yang meragukan atau mencurigai bahawa orang yang melakukan itu bukan Muslim? Bukankah setiap kali kita bersolat, pasti ada di sana kewajipan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.
Bukan hanya sekali seumur hidup, tetapi setiap hari tujuh belas kali, adakah masih kurang?
Selain itu, pengucapan syahadah tidak perlu dilakukan hanya di hadapan ulama atau imam.
Sebuah kenyataan yang agak mengelirukan dan tidak munasabah apabila mensyaratkan bersyahadah perlu di hadapan seseorang atau ulama tertentu atau pimpinan tertentu.
Idea semua umat Islam perlu mengulangi syahadah biasanya datang daripada kelompok-kelompok yang mempunyai kepentingan tertentu.
Syahadah ulangan hanya perlu dilakukan oleh mereka yang murtad, iaitu mereka ingkar kepada salah satu rukun iman dan rukun Islam atau melakukan perkara membatalkan syahadahnya. Itu pun dengan adanya perintah rasmi dari pihak berkuasa agama.
Kesimpulannya, tiada keperluan bagi orang yang telah lahir secara Islam untuk mengulangi syahadahnya. Malah, tidak dianggap sunat muakkad untuk mengulanginya semula.
Adalah telah memadai dengan dia menjaga perkara-perkara yang dilarang oleh syarak untuk tidak dilakukan khususnya perkara yang boleh membatalkan syahadah.