MUAR – Dua penganggur ditahan ketika memandu dalam keadaan mencurigakan dan berbahaya ketika cuba melarikan diri sejurus melihat kelibat polis di kawasan Bandar Muar di sini dalam kejadian Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi sewaktu anggota unit ronda MPV membuat rondaan di tempat kejadian melihat sebuah kereta yang mencurigakan.
Menurutnya, anggota polis tersebut telah mengarahkan pemandu menghentikan kereta namun pemandunya terus memecut laju dengan memandu berlawanan arus di hadapan Pasar Awam Muar.
“Akibat tindakan itu, ia telah menyebabkan kereta yang dipandu terbabas sehingga berlakunya kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Salleh.
“Pihak polis berjaya menahan pemandu dan penumpang kereta tersebut dimana kedua-duanya adalah rakan.
“Seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dan seorang wanita berusia 27 tahun ditahan,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, turut dirampas barang kes dipercayai dadah jenis syabu yang dijumpa dalam kereta tersebut dan ujian air kencing mereka positif methamphetamine.
“Susulan dari tangkapan yang dibuat, kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Muar semalam dan tarikh sebutan semula kes pada 15 Januari 2024 ,”katanya. – KOSMO! ONLINE