JAKARTA – Seorang pemuda yang membeli minyak petrol dengan menggunakan wang palsu akhirnya ditangkap oleh polis di Bantul, Jogjakarta, lapor portal berita Tribun Jogja semalam.
Seorang pegawai polis tempatan, Nengah Jeffry Prana Widnyana berkata, kira-kira pukul 2.30 petang (waktu tempatan) kelmarin, lelaki berkenaan membeli petrol untuk mengisi motosikalnya.
Pembeli itu membeli petrol tersebut di sebuah kedai runcit milik Aldo Barbel di daerah Bantul pada harga 12 ribu rupiah (RM3.62) untuk satu liter.
Bagaimanapun, pemuda tersebut menggunakan duit palsu sebanyak 100,000 rupiah (RM30.20) dan peniaga itu kemudian berasa pelik dengan wang tersebut menyebabkan dia memanggil rakannya untuk memeriksanya.
Setelah diperiksa, rakannya mendapati bahawa ia ialah wang palsu, kata pegawai polis tersebut.
Berikutan kejadian itu, lelaki berkenaan ditangkap oleh peniaga tersebut sebelum dia diserahkan kepada polis. – AGENSI