KOTA BHARU – Seorang nelayan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dengan mencabul anak luar nikahnya, bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan mencabul wanita berusia 20 tahun yang juga merupakan anak luar nikahnya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 4 petang pada 20 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.
Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Ariyani dalam rayuannya memohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai nelayan dan menanggung isteri dan empat orang anak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE