DOHA – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez percaya bahawa Pedro Acosta mampu mencipta lebih banyak kejutan dalam perlumbaan kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas merangkul gelaran dunia sewaktu di Grand Prix (GP) Malaysia pada Ahad lalu.
Acosta yang telahpun memenangi juara dunia Moto3 pada 2021 dianggap sebagai jelmaan Marquez baharu selepas dilihat sebagai seorang pelumba yang bijak, matang dan agresif dalam perlumbaannya.
Pada musim ini, Acosta telah mencipta 14 podium sepanjang 18 pusingan perlumbaan termasuk tujuh kemenangan bersama pasukan Red Bull KTM Ajo.
Aksi cemerlang tersebut membolehkan pelumba berusia 19 tahun itu dinaikkan pangkat untuk ke kelas MotoGP bersama Tech3 GasGas Racing untuk menggantikan tempat Pol Espargaro pada musim 2024 nanti.
“Acosta ialah pelumba yang akan mencipta nama besar dalam MotoGP. Dia akan mendapat masanya untuk menjadi seperti Mick Doohan, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Casey Stoner atau saya.
“Pada masa ini, saya tidak melihat pelumba yang telah memenangi banyak kejuaraan dunia berturut-turut. Tetapi Acosta mungkin salah seorang daripada mereka yang akan mencipta laluan seperti itu.
“Dia masih sangat muda dan saya yakin dia pasti akan berjaya dalam MotoGP nanti. Dia juga akan menunggang jentera yang kompetitif dan Brad Binder juga mampu mencapai keputusan yang cemerlang bersama jentera KTM.
“Ketika ini Binder berada di kedudukan keempat keseluruhan dalam carta perlumbaan MotoGP,” kata Marquez. -AGENSI