KEMAMAN – Dua pembantu kedai makan dan lima remaja lelaki dihadapkan secara berasingan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, tahun lalu.
Kesemua tertuduh berusia 14 hingga 19 tahun tersebut membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd. dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kijal di sini antara pukul 4 petang hingga 6.15 petang pada pertengahan Julai tahun lalu.
Dua tertuduh berusia 19 tahun masing-masing didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) di Mahkamah Sesyen.
Hakim Wan Suhaila membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati dan menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai.
Beliau juga kemudiannya menetapkan 14 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, lima lagi tertuduh juvana didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan sama pada masa dan lokasi yang sama.
Majistret Sharifah Amirda Shasha membenarkan kesemua tertuduh dibebas dengan wang jaminan antara RM3,700 hingga RM4,000 dan menetapkan sebutan semula kes 3 Januari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman. – KOSMO! ONLINE