BINTULU – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam longkang di kawasan Paragon berdekatan SK St. Anthony, di sini kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, mangsa dipercayai tergelincir ketika cuba menyeberangi longkang besar setinggi dua meter itu menggunakan papan kecil.
“Mangsa terjatuh ke dalam longkang dan mengalami hentakan di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Tambahnya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa.
Mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga, boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Amir Youb Bahari di talian 013-5653756 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304. – KOSMO! ONLINE