LUNDU – Seorang lelaki meninggal dunia akibat dilanggar kereta ketika sedang berada di atas jalan raya selepas motosikal ditunggangnya terjatuh di Kilometer 14, Jalan Lundu-Sematan.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 9.30 malam tadi, mangsa berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian.
Menjelas lanjut, beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa telah terbabit dengan kemalangan kendiri terlebih dahulu.
“Ketika mangsa dan motosikalnya masih berada di atas jalan raya dan selang beberapa minit kemudian, datang sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dari arah Lundu ke Sematan lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya pemandu kereta terbabit yang berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Damataries berkata semasa kejadian, keadaan jalan raya dua lorong sehala itu gelap tanpa lampu dan kes disiasat di bawah Seksyen (41) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE