fbpx

Lelaki dijel 12 tahun, tiga sebatan merompak guna senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku salah merompak tiga kedai serbaneka dan melarikan rokok serta wang tunai, awal bulan ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Seorang lelaki dipenjara 12 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata, awal bulan ini.

Tertuduh, Abdul Qayyum Mokhtar, 30, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail, tertuduh didapati bersalah melakukan dua rompakan bersenjata di dua kedai serbaneka berlainan.

Jenayah itu dilakukan menggunakan sepucuk pistol tiruan, satu stapler gun dan pisau untuk melarikan 18 kotak rokok serta wang tunai berjumlah RM1,067.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.15 pagi dan pukul 3.28 pagi di KK Mart Taman Bendahara dan KK Supermart & Superstore Taman Seri Cempaka, Peringgit dalam daerah Melaka Tengah pada 2 dan 4 November 2023.

Sementara itu, bagi pertuduhan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam, tertuduh didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau dan melarikan 10 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM421.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi di KK Supermart & Superstore Taman Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 3 November 2023.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira senjata yang digunakan tertuduh sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga dua anak yang masih kecil serta ibunya yang menghidap sakit jantung.

Mohd. Sabri dan Dharmafikri kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara berasingan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI